Sekilas Pandang
Pertama sekali tahniah diucapkan kepada TV3 atas penganjuran AJL 26. Setiap tahun kita dapat lihat AJL dilaksanakan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. Wajar AJL diangkat sebagai anugerah dalam industri hiburan paling berprestij di negara ini.
Kedua, saya sendiri tidak menyangka akan menonton AJL 26 dari awal sehingga penghujungnya. Ini kerana saya sendiri sudah beberapa tahun tidak berapa ambil tahu perkembangan AJL. Namun saya tetap mempunyai lagu pilihan iaitu Sungai Lui dendangan Aizat.
Mengikut ramalan saya, Yuna akan mengungguli AJL 26. Ramalan itu meleset kerana lagu Awan Nano ciptaan M. Nasir dan lirik Buddhi Hekayat yang dinyanyikan oleh Hafiz dimartabatkan sebagai Juara Lagu kali ini. Hal ini sangat menarik untuk difikirkan.
Jika anda masih ingat, dalam AJL 25, lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Rafali diangkat sebagai lagu terbaik. Kemenangan itu mencetuskan kontroversi kerana ramalan lebih condong pada Yuna. Akibatnya, Ana Rafali dicemuh dan ramai penonton dilihat meninggalkan dewan setelah keptusan diumumkan. Juri yang diketuai oleh M. Nasir, DIULANGI- M. NASIR, berpendapat 'lagu Tolong Ingatkan Aku – Ana Raffali merupakan cutting edge untuk perkembangan industri muzik, kemenangannya satu titik pembaharuan. Liriknya jujur, satu ekspresi daripada Ana Raffali selaku pencipta lagu tersebut.'
Dalam AJL 26, seramai 30 orang juri yang mengadili sepakat mengangkat lagu Awan Nano sebagai lagu terbaik. Ini membuktikan bahawa M. Nasir sebagai karyawan, penyanyi, komposer dan penulis lirik yang berpengalaman dalam industri faham akan maksud sebuah karya yang hebat. M. Nasir juga tahu apakah ciri-ciri yang perlu ada dalam sesebuah maha karya, dan beliau menterjemahkannya dalam lagu Awan Nano. Lalu, kemenangan ini sebenarnya mengesahkan kewajaran pemilihan lagu Tolong Ingatkan Aku pada AJL lepas.
Ramai yang menyokong kemenangan Awan Nano dan memuji-muji keunggulan M. Nasir. Alangkah ironik sekali- orang yang mereka puji itulah yang membuat keputusan kemenangan lagu Tolong Ingatkan Aku dalam AJL 25. Barangkali Ana Rafali perlu menyanyikan frasa '...tolong ingatkan aku...' ke telinga setiap pembenci dan pencemuhnya.