Dialah yang mengubah segalanya.
Dia yang meleraikan kabus tebal dan membawa panas dalam dingin hari selepas hujan. Dia muncul tanpa sebarang tanda, dalam sesak tubuh manusia yang berhimpit-himpit dan saling bertolakan. Dia mencetus api keinginan yang sangat kuat dalam diriku.
Dia mundar- mandir seperti kehilangan arah. Entah beberapa lama aku memerhatikannya. Entah dia perasan atau tidak aku telah lama memerhatikannya. Entah apa pula yang dicari olehnya. Ah, semuanya di luar jangkauan pengetahuanku. Antara kami masih ada tembok tebal yang menghalangi. Walau keinginan untuk merobohnya cukup kuat tetapi seperti ada sesuatu yang mengikat kaki ini daripada meneruskannya.
Dia berjalan dengan pandangan tunduk ke bawah. Semakin dia menghampiriku, langkahnya semakin diperlahankan. Akhirnya, dia pun duduk tanpa sepatah kata, tanpa sekilas jelingan. Akhirnya!
Tiba-tiba gelisah menghimpit dada. Aku menjadi serba tidak kena. Namun aku cuba bertenang dan berlagak seperti ada apa-apa yang berlaku. Aku membiarkan kesendirian berada di tengah-tengah antara kami.
Dia masih tidak berkata apa-apa selepas beberapa ketika duduk di sebelahku. Yang terdengar hanyalah ombak nafas kami berselang-seli. Aku cuba mengumpul keberanian, dalam diam, untuk menyapa mesra. Aku cuba mewajarkan; mungkin ini kali terakhir kami bertemu dan tiada perlu rasa malu jika niatku benar-benar ikhlas untuk mengenalinya.
“Hari yang indah.” Pandangan kami bertemu. Jelas dari mataku, dia tersenyum.
“Tidak juga. Ini antara hari yang malang buat saya,” ucapnya kembali menundukkan padangan ke lantai.
“Eh, kenapa pula begitu?” Tidak kusangka jawapan seperti itu meluncur keluar dari mulut seseorang yang tenang wajahnya.“Tapi awak kelihatan tenang sentiasa.”
Dia berdiam. Pertanyaanku nampaknya bakal menjadi lenyap bersama kabus tebal yang mengelilingi kami.
“Awak berasal dari mana?” Aku cuba menghidupkan sunyi.
“Johor Bahru.”
“Jauh juga.”
“Tapi saya dan emak sudah lama menetap di Kuala Lumpur.”
Satu maklumat, antara jutaan yang lain tentang dirinya bocor. Aku mengerah otak mencari idea lain. “Mula-mula saya ingat awak berbangsa Cina.”
“Sebenarnya nenek saya berkahwin dengan orang Jepun semasa perang dunia kedua dulu. Tapi memang selalu saya disalah sangka berbangsa Cina.”
“Nampaknya sayalah antara orang yang tertipu itu.”
Segaris senyum terukir halus di bibir pemuda itu. Hatiku pula semakin hangat oleh keterujaan yang berapi-api apabila melihat dia memberi reaksi.
“Dah berapa lama awak di sini?” Dia bertanya untuk kali pertama.
“Mungkin hampir dua jam. Awak pula?”
“Empat jam. Mungkin.”
Nah! Di sini berbicara dua insan yang tidak pasti sudah berapa lama mereka di sini. Aku yakin, seperti aku, dia juga tidak pasti mengapa dia ke sini.
“Selalu awak ke sini?” Aku bertanya, cuba lari dari sunyi yang kembali menjengah kami.
“Kadang-kadang. Tidak selalu.”
“Bagaimana yang dikatakan kadang-kadang atau tidak selalu itu?”
“Hmm...mungkin dalam dua atau tiga bulan sekali, saya akan berkunjung ke sini. Awak pula, bagaimana?”
“Saya selalu juga. Hampir tiap-tiap minggu. Tapi tidak berharap apa-apa. Sekadar singgah saja,” ujarku jujur. “Tapi saya suka ke sini untuk mencari ketenangan dalam hati.”
Wajahnya kulihat tenang seperti selalu apabila ayat terakhir itu kuhabiskan. Sememangnya aku mencari ketenangan di sini. Ia seumpama sebuah taman yang sangat indah, dihiasi dengan warna-warna alam yang menakjubkan pandangan mata. Di sini hujan kerap turun. Langitnya sentiasa penuh dengan awan mendung yang menapis cahaya terik daripada terus menjamah pengunjung di sini. Tanah dan cuacanya sentiasa lembap dan basah. Kabus tebal pula sentiasa menyelubungi ruang, terutama setiap kali selepas hujan, menyebabkan pandangan menjadi terhad. Suasana di sini juga sentiasa tenang, tidak bising walaupun ramai yang menjejakkan kaki di sini.
Ramai yang datang ke sini untuk mencari ketenangan. Termasuklah aku.
“Apa yang awak cari di sini?” Aku memberanikan diri bertanya. Kurasakan tiba-tiba soalan tersebut terlalu sensitif untuk dipertanyakan.
“Saya hendak lari daripada kesunyian.” Perlahan suaranya seolah berbisik di telingaku. “Kesunyian ini telah lama membunuh saya!”
Pengakuannya itu membuat hatiku berdebar laju. Sememangnya soalan ini tidak patut aku tanyakan. Bunga-bunga sesal mula timbul dalam hati.
Dia hanya mendiamkan diri saja. Sepi terbungkam. Aku terdiam. Dia adalah antara pengunjung taman ini yang mempunyai sebab dan tujuan tersendiri datang ke sini. Ingin kudesak dengan soalan; kesunyian dari apa? Tapi bimbang mula bersarang dalam lubang perasaan. Aku tidak mengenalinya. Dia juga tidak mengenaliku. Kenapa kami perlu berterus-terang antara satu sama lain? Mengapa perlu diteruskan perbualan ini sedangkan kami tahu tempat ini bukanlah sebuah tempat untuk membina kasih?
“Saya minta izin dulu,” pintanya sopan.
“Nanti!” Aku bertekad. Kali ini aku mesti menahannya.
“Tempat ini bukanlah sebuah tempat untuk membina kasih,” ucapnya lembut.
“Saya tahu.”
“Kemudian?”
“Kita sama-sama tahu tempat ini. Tiada hubungan yang akan menjadi. Tapi kita mempunyai sebab yang berbeza datang ke sini. Saya mencari ketenangan, dan awak lari dari kesunyian. Itu membuatkan kita unik. Kita patut cuba.”
Dia membisu. “Apakah itu satu alasan yang sengaja dicipta?”
Aku menggeleng. Wajahku jelas membayangkan simpati.
Dia merenung dalam. Pandangannya seolah-olah bertanya; kenapa?
No comments:
Post a Comment